Morroe Berger menjelaskan bahawa terdapat tiga perkara yang perlu diambil kira dalam melakukan perubahan kepada dunia Arab:
1) Melihat kepada bidang komunikasi dan industri moden sebagai dua bidang yang boleh membawa kepada perubahan yang mendalam, juga sebagai tenaga perubahan yang berkesan dalam melakukan perubahan-perubahan yang kemudiannya.
2) Mengambil kira beberapa perkara yang dapat digunakan untuk melakukan "dislocation" atau kerosakan di dalam elemen hidup masyarakat Arab.
3) Melihat bagaimana proses "perubahan" dan "meminjam" memberi kesan pada hubungan antara Barat dan dunia Arab.
Perkara pertama yang cuba diubah oleh pihak Barat ke atas dunia Arab ialah sikap terhadap perubahan itu sendiri. Dalam hal ini, pihak Barat mendapati bahawa mereka adalah suatu bangsa yang tidak sabar, aktif dan penuh harapan, manakala orang Oriental adalah bangsa yang suka melengah-lengah, serius dan penyabar.
Walau bagaimanapun, bangsa Arab telah mengejar semangat perubahan. Sikap tidak senang duduk dan tidak sabar ini mula mendorong di kalangan elit berpelajaran, merangka plan untuk melakukan perubahan sosial, lebih mendalam dari perubahan yang kuasa Barat sendiri berani untuk melakukannya.
Keghairahan ke arah perubahan ini, ditambah dengan wujudnya sentimen kebangsaan, menyebabkan lahir perasaan "ambivalence" atau perasaan yang tidak menentu terhadap masa-masa lepas. Di satu sudut, ia mencari penerusan kepada kuasa dan kebudayaan tradisi Arab. Di satu sudut yang lain, ia ingin menolak tradisi yang dianggap beku, memalukan dan penghalang kepada definasi baru "kemajuan".
Seorang saintis politik Arab yang dilatih di Barat bernama Nuseibah pernah berkata:
"... di dalam sejarah tradisi itu sendiri, terdapat dua senjata: ia menyumbangkan ke arah kesatuan dengan cara menghidupkan memori orang-orang tua dan menghilangkannya dengan cara menghidupkan episod hidup yang tawar, yang mana setiap sejarah terikat dengannya."
Nuseibah berkata bahawa ia tidak menafikan masa-masa lepas serta pengaruhnya terhadap masa kini, tetapi ia menekankan perbezaan antara Arab kini dengan Arab di era-era yang lebih awal. Dalam rangkanya untuk melepaskan Arab dari ikatan sejarah, dia menyoal dengan katanya:
"... kenapa teori-teori dan amalan-amalan ribuan tahun yang lalu dianggap lebih utama dan "innate"... dari yang ada di abad ini?'
Sebenarnya, perasaan untuk berubah akan menukarkan pendekatan seseorang di dalam mempelajari masa-masa lepas. Ini akan menyebabkan seseorang menilai kembali masa lepas dan mewujudkan sikap yang kritikal dan perbincangan yang terbuka terhadapnya. Keinginan untuk menerima idea-idea yang baru, lahir, dan ianya, secara langsung atau tidak memberikan kesan kepada setiap aspek kehidupan Arab.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment