Tuesday, March 17, 2009

DUNIA ARAB Siri 2

Assalamu'alaikum wbth,

Perbincangan utama di dalam buku ini adalah khusus kepada lima buah negara Arab iaitu Mesir dan Syria (yang membentuk Republik Arab Bersatu pada tahun 1958) serta Lubnan, Jordan dan Iraq. Ini kerana, pada suatu masa, negara-negara inilah yang menjadi pusat serta masyarakat yang paling maju dalam pemerintahan Arab. Kesemuanya mempunyai banyak persamaan antara satu dengan yang lain jika dibandingkan dengan dunia Islam yang lain. Di kawasan ini jugalah tinggal 40 juta penduduk (nota pent: statistik 1960-an) yang mana hampir kesemuanya terdiri dari bangsa Arab dan beragama Islam.

Dari segi sejarah, negara-negara ini mengambil bentuk politik seperti yang wujud sekarang adalah merupakan hasil dari Perang Dunia Kedua. Ideologi serta sosio-ekonominya yang juga lahir semenjak Perang Dunia Kedua adalah disebabkan kepada tiga trend utama:

1) Merosotnya pengaruh kekuasaan penjajahan British.

2) Peningkatan Amerika Syarikat dan Rusia sebagai kuasa dunia serta wujudnya perang dingin antara kedua buah negara tersebut.

3) Lahirnya ideologi Bangsa-bangsa bersatu mengenai pembentukan dan hak perlindungan negara-negara kecil serta "industrialisasi" negara-negara yang dianggap "underdevelop areas".

Perkembangan ini merupakan satu "protective covering" atau cara berlindung di sebalik nama, yang digunakan dalam rangka untuk mengembangkan perasaan kebangsaan atau nationalistik di kalangan Arab. Di masa yang sama, ia menggerakkan kepada usaha ke arah kesatuan dan pengambilan polisi "positive neutralism" atau polisi bersikap neutral atau pro Rusia di dalam hal-ehwal antarabangsa, mengumumkan identiti baru sebagai sebuah negara yang merdeka, serta mula mencari perubahan dalaman dan perkembangan ekonomi.

Dari aspek pemikiran strategik Barat, Morroe Berger menyifatkan Timur Dekat sebagai satu kawasan yang bersatu. Konsep bersatu yang dimaksudkan di sinilah pula bukanlah kesatuan yang diasaskan kepada kebudayaan atau cara hidupnya tetapi yang berasaskan kepada dasar geopolitik dan ketenteraan.

Pada hakikatnya, politik Arab telah lama tunduk di bawah regim diktator, samada tempatan atau asing. Sistem parlimen barat, sebagai contohnya telah diperkenalkan kepada Mesir dan juga negara-negara lain yang mana pada hakikatnya, kuasa yang sebenar terletak di bawah kekuasaan British dan Perancis. Kaum tempatan Arab pula, walaupun dari segi politiknya menentang penjajahan barat, mereka sebenarnya telah terjajah dengan pengaruh sosial dan ideologi barat yang membawa "modernisasi", satu proses yang dibawa oleh pihak barat kepada kaum tempatan yang mendorong mereka menuju kepada perubahan ala barat. Dari segi pendidikan contohnya, kaum wanita telah digalakkan untuk menuntut di sekolah-sekolah yang moden. Mereka digalakkan supaya menuntut hak "kebebasan" mereka.
bersambung...

No comments: